Arahan khas berhubung penularan wabak corona virus (covid-19)

Pada 11 Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik kerana terdapat peningkatan kes yang semakin ketara di seluruh dunia. Negara kita juga sekarang ini turut berhadapan dengan situasi yang semakin serius berikutan penularan jangkitan COVID-19 tersebut. Kerajaan kini sedang giat melaksanakan usaha untuk mencegah penularan wabak ini, yang semakin menunjukkan peningkatan kes positif COVID-19. Selaras dengan itu, beberapa arahan telah dikeluarkan oleh kerajaan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat diarahkan untuk ditangguhkan atau dibatalkan bagi suatu tempoh tertentu.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sebagai sebuah jabatan kerajaan yang mengawal selia pertubuhan-pertubuhan berdaftar di Malaysia turut terlibat dengan arahan-arahan ini kerana pertubuhan tersebut akan melaksanakan pelbagai program termasuk mesyuarat pertubuhan dipelbagai peringkat. Mesyuarat-mesyuarat ini perlu dilaksanakan seperti yang telah ditetapkan dalam perlembagaan pertubuhan masing-masing. Walau bagaimanapun, memandangkan situasi penularan COVID-19 ini semakin meruncing ketika ini, maka JPPM memaklumkan bahawa semua pertubuhan adalah DILARANG daripada mengadakan program/aktiviti/ persidangan/ perhimpunan/ mesyuarat agung pertubuhan sehingga 30 Jun 2020 selaras dengan arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan. Larangan ini adalah terpakai disetiap peringkat pertubuhan termasuk cawangan- cawangan diseluruh negara. Arahan khas yang dikeluarkan ini adalah selaras dengan kuasa-kuasa Pendaftar di bawah peruntukan Seksyen 3A, Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

Namun, sekiranya sehingga pada tarikh 30 Jun 2020 wabak COVID-19 masih dalam situasi meruncing maka pertubuhan hendaklah mengemukakan permohonan kepada JPPM untuk pertimbangan bagi perlanjutan tempoh daripada tarikh awal yang telah ditetapkan. Permohonan perlanjutan adalah bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan oleh pertubuhan berdaftar ke atas undang-undang tubuh pertubuhan serta Akta 335.

Adalah diharapkan agar segala usaha dan langkah pencegahan yang dilakukan oleh kerajaan akan dapat membantu mencegah penularan COVID-19 dan sekaligus melindungi rakyat Malaysia daripada wabak ini.



Klik untuk muat turun lampiran pengumuman

Penafian Dasar Privasi Dasar Keselamatan Perlindungan Data Peribadi Soalan Lazim
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi skrin 1366x768.
Anda memerlukan perisian Adobe Flash Player dan Adobe Acrobat Reader untuk paparan sesetengah aplikasi di portal ini.
Dibangun dan disenggarakan oleh Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat.
Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM)
TOP