Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) hari ini mengadakan Perhimpunan Bulanan Zon Timur 2026: Membina Sinergi, Memacu Prestasi, Mendepani Cabaran yang berlangsung di Dewan Gamelan 3, Aras 3, Primula Beach Hotel, Terengganu.
Majlis telah disempurnakan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Mohd Zulfikar bin Ahmad, Ketua Pengarah JPPM serta YBrs. Dr. Adam bin Abu Hanipah, Timbalan Ketua Pengarah JPPM. Turut hadir ialah Pengarah-Pengarah Bahagian, Pengarah-Pengarah Negeri serta warga JPPM dari Ibu Pejabat dan negeri.
Perhimpunan dimulakan dengan persembahan silat oleh Pertubuhan Seni Silat Petala Bumi 7 Terengganu serta tayangan video sebelum diteruskan dengan ucapan dan amanat Ketua Pengarah JPPM.
Dalam amanatnya, YBhg. Dato’ Mohd Zulfikar menekankan kepentingan memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta terus mengamalkan nilai integriti, profesionalisme dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga JPPM. Beliau turut menyeru agar seluruh warga jabatan sentiasa komited dalam melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab demi memastikan JPPM terus kekal sebagai sebuah organisasi yang diyakini dan dihormati.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Nadi Jabatan ‘Kerana Setia Itu Bernilai’ sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja yang telah menunjukkan komitmen, dedikasi dan prestasi cemerlang dalam melaksanakan tugas, sebelum diakhiri dengan sesi bergambar dan persembahan penutup.


























