MENGENAI JABATAN
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia adalah sebuah Jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang mengendalikan pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan dan parti politik. Di bawah Seksyen 2, Akta Pertubuhan 1966, sesebuah pertubuhan adalah didefinisikan sebagai mana-mana kelab, perkongsian atau persatuan yang mengandungi tujuh ( 7 ) orang atau lebih, tidak kira apa jua jenis atau tujuannya, sama ada sementara atau kekal tetapi tidak termasuk badan-badan yang perlu didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis seperti syarikat, koperasi, kesatuan sekerja, persatuan ibu bapa dan guru, badan-badan sukan dan lain-lain.
MATLAMAT JABATAN
Matlamat Jabatan ini ialah untuk menentukan pertumbuhan dan perkembangan pertubuhan yang sihat serta teratur dan tidak bercanggah dengan kehendak-kehendak keamanan, kebajikan, keselamatan, ketenteraman awam atau akhlak.
FUNGSI UTAMA JABATAN
Fungsi utama Jabatan adalah untuk mentadbir dan menguatkuasakan Akta Pertubuhan 1966, Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984 dan dasar-dasar mengenai pertubuhan; mengawal dan mengawasi pertubuhan supaya tidak bertentangan dengan keamanan, kebajikan, keselamatan, ketenteraman awam, ketertiban atau akhlak negara Malaysia serta mengurus dan menyimpan rekod-rekod pendaftaran berkaitan dengan pertubuhan dan cawangan pertubuhan berdaftar.