29 Jun 2025, Langkawi - Pemeriksaan Bernotis oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Negeri Kedah, bertempat di Dewan Diamond, Hotel Langkasuka, Langkawi. Pemeriksaan ini melibatkan 10 pertubuhan berdaftar di sekitar Langkawi dan dilaksanakan dengan kerjasama seramai 15 Pegawai Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Negeri Kedah serta beberapa orang pegawai dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Negeri Kedah.
Tujuan pemeriksaan ini adalah untuk menilai tahap pematuhan pertubuhan terhadap peraturan dan undang-undang di bawah Akta Pertubuhan 1966. Pemeriksaan ini adalah untuk memastikan dokumen pentadbiran seperti minit mesyuarat agung pertubuhan (AGM), laporan penyata tahunan, senarai jawatankuasa, buku resit, buku rekod ahli dan lain-lain dokumen dikendalikan dengan betul. Pemeriksaan ini turut memberi peluang kepada pertubuhan untuk mendapatkan khidmat nasihat serta teguran secara terus daripada pihak JPPM Negeri Kedah sekiranya terdapat kelemahan dalam pengurusan pertubuhan.
Pelaksanaan pemeriksaan bernotis ini mencerminkan usaha JPPM Negeri Kedah dalam memantau serta memperkukuhkan sistem tadbir urus pertubuhan, agar setiap pertubuhan dapat beroperasi dengan lebih telus, teratur dan selari dengan kehendak undang-undang pertubuhan.





