AYER KEROH, 29 Julai 2025 – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Negeri Melaka telah mengadakan Kursus Asas Pengurusan Pertubuhan pada hari ini di Dewan Persidangan, Aras 4, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Jalan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Kursus ini telah dihadiri oleh seramai 52 orang peserta daripada 23 pertubuhan yang baharu diluluskan pendaftaran pada bulan Januari hingga Mac tahun 2025. Para peserta yang hadir adalah terdiri daripada pemegang jawatan utama dalam pertubuhan iaitu jawatan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari.
Tujuan kursus ini diadakan ialah untuk memberi penerangan kepada
pertubuhan yang baharu diluluskan pendaftarannya tentang perkara-perkara asas
dan penting dalam pengurusan pertubuhan supaya pertubuhan dapat ditadbir
selaras dengan kehendak Perlembagaan Pertubuhan serta Akta Pertubuhan 1966
[Akta 832].
Taklimat kursus telah disampaikan oleh Puan Nurazeny Binti Abd Rahman,
Penolong Pendaftar Pertubuhan, Cawangan Pengurusan Pertubuhan JPPM Negeri
Melaka. Turut dijemput penceramah daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan
Jalan Munshi Abdullah iaitu Encik Mohd Kamal bin Hanafi yang telah memberi
penerangan mengenai prosedur pembukaan akaun bank pertubuhan dan memperkenalkan
pelbagai perkhidmatan serta kemudahan kewangan yang ditawarkan oleh Bank Simpanan
Nasional kepada pertubuhan.






















