IPOH, 27 Ogos 2025 (Rabu) – Program #ros_care Taklimat Pengurusan Pertubuhan dan Kaedah Penghantaran Penyata Tahunan Bil. 4 Tahun 2025 anjuran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Perak bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 5, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Ipoh, Perak.
Penganjuran taklimat ini bertujuan memperkukuh pengetahuan dan kefahaman pertubuhan dalam aspek pengurusan organisasi yang lebih sistematik, berintegriti dan mematuhi peraturan semasa. Antara fokus utama taklimat ini termasuklah pematuhan terhadap peranan dan tanggungjawab ahli jawatankuasa pertubuhan, pengurusan rekod yang teratur, serta kepentingan melaksanakan pentadbiran mengikut perlembagaan pertubuhan. Selain itu, program ini turut memberi panduan berkaitan penyediaan dan penghantaran penyata tahunan dengan kaedah yang tepat dan mengikut ketetapan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Sesi taklimat telah disampaikan oleh Puan Khairul Hazmon binti Hashim daripada Cawangan Pengurusan Pertubuhan dan Encik Arfakhsyadz bin Ramlan daripada Cawangan Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Perak.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penglibatan aktif para peserta sepanjang sesi berlangsung. Pihak jabatan yakin penganjuran ini dapat membantu pertubuhan meningkatkan tahap tadbir urus yang lebih cekap, berkesan dan selaras dengan kehendak undang-undang yang berkuat kuasa.










