KUALA TERENGGANU, 8 November 2025 – Program Roadshow Sistem eROSES Versi 2.0 Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Terengganu Tahun 2025 berlangsung dengan jayanya.
Program ini diadakan untuk memberikan pendedahan awal, pengetahuan dan kefahaman dalam melayari Sistem eROSES v2.0 ini agar pertubuhan dapat mentadbir pertubuhan dengan baik selaras dengan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], Undang-Undang Tubuh Pertubuhan dan Dasar-Dasar Negara.
Turut menampilkan pelbagai sesi menarik seperti Taklimat Kod Tadbir Urus Baik Pertubuhan (Code of Good Governance) (COGG) yang disampaikan oleh Yang Berusaha Encik Haifizul Hafiz bin Andul Halim, Penolong Pendaftar JPPM Terengganu, bacaan Ikrar Integriti Pertubuhan yang dipimpin oleh Encik Muslim Masri bin Mohamed dari Persatuan Peniaga-Peniaga Melayu, Pasar Malam, Daerah Kuala Terengganu Dan Kuala Nerus, Terengganu (PEMATUN) dan persembahan deklamasi puisi yang bertajuk ‘Kitalah Generasi Pewaris Bangsa’ daripada En Azaha bin Haji Othman, Penasihat Persatuan Selampit Seni Negeri Terengganu (SELAMPIT) dan persembahan Tarian Haddat dari Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu serta khidmat nasihat terus bersama pegawai JPPM.
Turut hadir Yang Berusaha Puan Noor Zahrina binti Abdul Samad, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Pertubuhan JPPM, Yang Berusaha Ts. Norlaili binti Abdul Hamid, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat JPPM, Pegawai-pegawai JPPM Ibu Pejabat dan Negeri dan Yang Dihormati En Mohd Sarif bin Hassan, Mantan Pengarah JPPM Terengganu.
Program ini diharapkan dapat menjadi simbol kolaborasi strategik antara kerajaan dan masyarakat sivil dalam memperkasa pertubuhan berdaftar ke arah Malaysia yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berintegriti.





