Seberang Jaya, 24 Mei – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dengan sokongan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menganjurkan Sesi Libat Urus (SLU) berkaitan cadangan pindaan terhadap Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] bagi Zon Utara. Program ini telah diadakan di The Light Hotel, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Seramai 341 peserta daripada 210 pertubuhan berdaftar yang mewakili negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis telah mengambil bahagian dalam sesi ini. SLU Zon Utara ini merupakan sesi penutup bagi siri sesi libat urus yang telah disusun mengikut zon di seluruh negara.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato' Mohd Zulfikar bin Ahmad, Ketua Pengarah JPPM; YBrs. Puan Rosilah binti Abdullah, Timbalan Setiausaha Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan, KDN (Bahagian PP, KDN); serta pegawai-pegawai dari Bahagian PP, KDN dan pegawai-pegawai kanan JPPM.
Cadangan pindaan terhadap Akta 832 ini bertujuan untuk memperkukuh dan memperkemas tadbir urus pertubuhan supaya selaras dengan kehendak undang-undang, keperluan keselamatan serta dasar-dasar semasa kerajaan. Justeru, penganjuran SLU ini bertindak sebagai platform untuk mendapatkan pandangan, maklum balas dan cadangan daripada wakil-wakil pertubuhan berdaftar berhubung pindaan yang dicadangkan.
JPPM merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas sokongan dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan sesi libat urus ini.
















