Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Negeri Kelantan telah berjaya menganjurkan Program #ros_care Tahun 2025 pada 25 Oktober 2025 bertempat di Dewan Matahari, Pantai Cahaya Bulan (PCB) Beach Resort, Kota Bharu. Program ini diadakan sebagai satu usaha untuk meningkatkan kesedaran dan memberikan pendedahan berkaitan keselamatan digital serta amalan tadbir urus berintegriti dalam kalangan warga pertubuhan di Negeri Kelantan. Seramai 58 orang peserta daripada pertubuhan kategori sosial penduduk dan keagamaan telah menyertai program ini, menunjukkan komitmen tinggi terhadap usaha memperkukuh pengurusan pertubuhan yang lebih berdaya maju.
Antara pengisian utama yang dijalankan sepanjang program ialah ceramah berkaitan aspek keselamatan digital dan pencegahan rasuah. Ceramah bertajuk “Lindungi Diri Anda dan Kenali Jenayah Scammer” telah disampaikan oleh Insp. Noor Fashimah binti Hashim dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Kota Bharu, bagi meningkatkan tahap kewaspadaan peserta terhadap taktik penipuan dalam talian yang semakin berleluasa. Seterusnya, slot “Governance Berintegriti, Rasuah Dibenci” oleh Puan Wan Siti Junaida binti Ismail, Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat, SPRM Kelantan pula telah memberi penekanan terhadap kepentingan integriti dalam pengurusan pertubuhan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran En. Mohd Bakri bin Che Mohamed Arif, Penolong Pegawai JPPM Negeri Kelantan, yang mewakili Pengarah JPPM Negeri Kelantan dalam menyampaikan ucapan alu-aluan. Selain ceramah, pihak urus setia turut menyediakan khidmat nasihat berhubung pentadbiran pertubuhan serta membuka gerai pameran bersama agensi seperti AADK dan PK KDN bagi memperluas jalinan kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti pertubuhan.
Secara keseluruhannya, Program #ros_care Tahun 2025 dilihat telah mencapai objektif penganjurannya melalui usaha memperkukuh nilai integriti, memperluas pengetahuan komuniti pertubuhan serta mengukuhkan rangkaian kolaborasi yang bermanfaat demi kemajuan dan kesejahteraan pertubuhan di Negeri Kelantan. Semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai platform memperkasa masyarakat dalam menghadapi cabaran semasa.















