AYER KEROH, 7 Mei 2025 – Kursus Asas Pengurusan Pertubuhan anjuran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Negeri Melaka telah diadakan bertempat di Dewan Persidangan, Aras 4, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Jalan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Kursus ini telah dihadiri oleh seramai 36 orang peserta daripada 17 pertubuhan yang baharu diluluskan pendaftaran pada bulan September hingga Disember tahun 2024. Para peserta terdiri daripada pemegang jawatan utama dalam pertubuhan iaitu jawatan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari.
Tujuan kursus ini diadakan ialah untuk memberi penerangan kepada pertubuhan yang baharu diluluskan pendaftarannya tentang perkara-perkara asas dan penting dalam pengurusan pertubuhan supaya pertubuhan dapat ditadbir selaras dengan kehendak Perlembagaan Pertubuhan serta Akta Pertubuhan 1966.
Taklimat kursus telah disampaikan oleh Puan Nurazeny Binti Abd Rahman, Penolong Pendaftar Pertubuhan, Cawangan Pengurusan Pertubuhan JPPM Negeri Melaka. Turut dijemput penceramah daripada Bank Rakyat Cawangan Jalan Hang Tuah iaitu Puan Nur Syahdah binti Kamarudin yang telah memberi penerangan mengenai prosedur pembukaan akaun bank pertubuhan dan memperkenalkan pelbagai perkhidmatan serta kemudahan kewangan yang ditawarkan oleh Bank Rakyat kepada pertubuhan.


















