MELAKA TENGAH, 14 April 2026 – YBhg. Dato’ Mohd Zulfikar bin Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah menyempurnakan Program Jalinan Kasih Menyantuni Anak-Anak Yatim bertempat di Rumah Anak-Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Melaka.
Program anjuran JPPM Negeri Melaka ini merupakan platform strategik yang menggabungkan kecemerlangan tadbir urus pertubuhan dengan keprihatinan sosial terhadap komuniti setempat.
Pengisian program dimulakan dengan sesi pengupayaan kompetensi melibatkan kepimpinan yayasan serta rakan strategik dengan penekanan kepada pemantapan pengurusan organisasi, dokumentasi berkualiti dan pematuhan peraturan melalui pemeriksaan bernotis.
Dalam amanat beliau, YBhg. Dato’ Ketua Pengarah menegaskan komitmen JPPM dalam memastikan ekosistem pertubuhan negara kekal berintegriti serta mematuhi undang-undang di samping memperkukuh elemen keprihatinan sosial dalam mendekati masyarakat.
Sumbangan raya turut disampaikan kepada anak-anak yatim bagi menyemarakkan semangat kebersamaan dan kasih sayang dalam kalangan komuniti. Hadir sama Puan Nur Faizlin binti Md Jadi, Pengarah JPPM Negeri Melaka, wakil-wakil pertubuhan serta jemputan lain.










