AYER KEROH, 27 Ogos 2025 – Kursus Asas Pengurusan Pertubuhan anjuran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Negeri Melaka telah berlangsung di Dewan Persidangan, Aras 4, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Jalan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Kursus ini menyasarkan pemegang jawatan utama dalam pertubuhan iaitu Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari.
Tujuan kursus ini diadakan ialah untuk memberi penerangan kepada pertubuhan yang baharu diluluskan pendaftarannya tentang perkara-perkara asas dan penting dalam pengurusan pertubuhan supaya pertubuhan dapat ditadbir selaras dengan kehendak Perlembagaan Pertubuhan serta Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832].
Taklimat kursus telah disampaikan oleh Puan Nurazeny Binti Abd Rahman, Penolong Pendaftar Pertubuhan, Cawangan Pengurusan Pertubuhan JPPM Negeri Melaka. Turut dijemput penceramah daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Jalan Munshi Abdullah iaitu Encik Mohd Kamal bin Hanafi yang telah memberi penerangan mengenai prosedur pembukaan akaun bank pertubuhan dan memperkenalkan pelbagai perkhidmatan serta kemudahan kewangan yang ditawarkan oleh Bank Simpanan Nasional kepada pertubuhan.



















