ALOR GAJAH, 18 - 19 Oktober 2025 – Buat julung kalinya, Simposium Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Tahun 2025 telah melabuhkan tirai dengan jayanya di negeri Melaka selaku tuan rumah kepada penganjuran berprestij ini. Bertemakan "Building Trust, Ensuring Transparency", simposium ini menerima penyertaan yang amat memberangsangkan melibatkan seramai lebih daripada 300 orang peserta daripada pertubuhan berdaftar serta rakan strategik daripada sektor kerajaan dan swasta.
Pelbagai pengisian berimpak telah dijalankan sepanjang simposium berlangsung, antaranya termasuklah sesi bual bicara bertajuk "Crowdfunding in Civil Society: Ensuring Transparency, Trust and Security" oleh NGO Hub dan Malaysian Zoological Society. Selain itu, turut diadakan segmen perkongsian daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), majlis peluncuran Sistem eROSES versi 2.0 serta sesi khidmat nasihat dan pembelajaran sistem eROSES versi 2.0.
Simposium dan majlis peluncuran sistem eROSES versi 2.0 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri.
Dalam pada itu, simposium ini turut menampilkan reruai pameran dan jualan pelbagai produk kecantikan, kraftangan serta promosi perkhidmatan daripada usahawan/ penggiat industri kreatif dan perkhidmatan seperti Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka, Zoo Negara Malaysia, Zakat Negeri Melaka, Mary Kay dan lain-lain.
Simposium ini telah menjadi platform utama perkongsian ilmu serta memperluaskan jaringan kerjasama antara jabatan/ agensi kerajaan dan masyarakat sivil selaras bertepatan dengan tema "Building Trust, Ensuring Transparency". Pihak Jabatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan simposium ini.






























