KUANTAN, 17 Mei 2025 - Sesi Libat Urus Zon Timur telah diadakan pada hari ini di Swiss-Belhotel, Kuantan, Pahang bagi memberikan pendedahan awal berkenaan cadangan pindaan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832].
Seramai 241 orang peserta mewakili 139 pertubuhan berdaftar dari negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan telah menghadiri sesi libat urus yang dianjurkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sesi ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah JPPM, YBhg. Dato’ Mohd Zulfikar bin Ahmad; wakil Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan (Bahagian PP), KDN, YBrs. Dr. Norliza binti Dolhan; barisan Pengurusan Tertinggi JPPM; pegawai-pegawai Bahagian PP, KDN; serta pegawai-pegawai JPPM.
Cadangan pindaan terhadap Akta 832 ini bertujuan memperkemas dan menambah baik peruntukan sedia ada agar lebih komprehensif serta selaras dengan perundangan semasa. Usaha ini secara tidak langsung akan memperkukuh tadbir urus pertubuhan dan menggalakkan pertubuhan berdaftar menjadi lebih progresif dalam menyokong aspirasi negara.
Sesi libat urus ini turut merangkumi taklimat berkenaan cadangan pindaan Akta 832 oleh wakil KDN serta sesi soal jawab bersama wakil pertubuhan, sebagai platform interaktif untuk pertukaran pandangan secara langsung.
JPPM kekal komited untuk terus mendengar pandangan akar umbi dalam merealisasikan reformasi perundangan ke arah pengurusan pertubuhan yang lebih cekap, telus dan berintegriti.