AYER KEROH, 10 Februari 2026 – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Negeri Melaka dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan (PK) Negeri Melaka, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menjalankan program pemeriksaan bernotis ke atas pertubuhan kategori pertubuhan kebajikan, keagamaan dan sosial di Dewan Persidangan, Aras 4, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Seramai 30 orang peserta telah hadir ke program tersebut.
Tujuan utama program pemeriksaan bernotis ini adalah untuk memastikan pertubuhan-pertubuhan yang berdaftar diurus tadbir secara baik dan berkualiti selaras dengan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] dan Perlembagaan Pertubuhan.
Program dilaksanakan dalam dua sesi iaitu sesi pagi dan petang yang dimulakan dengan Taklimat Pengurusan Dokumen Berkualiti serta Pemantapan Pemegang Jawatan Utama oleh Puan Khairal Bariah binti Ibrahim, Penolong Pendaftar Pertubuhan JPPM Melaka sebelum diteruskan dengan sesi pemeriksaan bernotis ke atas pertubuhan-pertubuhan yang hadir.
Program pemeriksaan bernotis ini akan dilaksanakan secara berkala sebagai suatu usaha Jabatan memantau pertubuhan selaras dengan peranan Jabatan dalam mengawal selia pengurusan pertubuhan, program dan aktiviti supaya tidak bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], Perlembagaan Pertubuhan, dasar negara, keamanan, kebajikan dan keselamatan, serta ketenteraman awam atau keharmonian sosio-budaya.



















