SIBU, 18 Jun 2025: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Negeri Sarawak telah menganjurkan Program #ros_care Taklimat Pengurusan Pertubuhan Berkualiti dan Penguatkuasaan Akta Pertubuhan bersama 48 Pertubuhan yang diwakili oleh 78 Ahli Jawatankuasa Tertinggi pertubuhan yang berdaftar di bawah JPPM bertempat di Kingwood Hotel, Sibu. Program ini telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Hajiawati binti Tambi, Pengarah JPPM Negeri Sarawak.
Program ini memberi pengetahuan dan tata cara yang betul dalam pengurusan pertubuhan mengikut Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832]. Turut hadir dalam program ini ialah Tuan Hj Mohd Amirul Abdullah, Pengarah Perhubungan Pelanggan Bank Islam Negeri Sarawak dan Puan Velarie Anak Robert Kenneth, Pengurus Perhubungan Pelanggan Bank Islam telah menyampaikan taklimat berkaitan isu Akaun Keldai (Mule) serta berkongsi maklumat berkenaan produk dan perkhidmatan Bank Islam. Taklimat ini memberikan pendedahan berguna kepada para peserta dalam mengenal pasti modus operandi jenayah kewangan dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan urus niaga perbankan yang selamat.
Pada sebelah petang, turut diadakan Sesi Mobile Team JPPM Negeri Sarawak yang memberi ruang kepada peserta dan pertubuhan untuk berurusan secara langsung dengan pegawai JPPM melibatkan pendaftaran, pengemaskinian maklumat, carian maklumat, penghantaran penyata tahunan serta khidmat nasihat berkaitan tadbir urus pertubuhan.
Jabatan Insolvensi Malaysia Negeri Sarawak juga turut membuka kaunter bagi pertanyaan berkaitan hal ehwal insolvensi yang melibatkan pertubuhan, manakala Bank Islam menyediakan kaunter perbankan bagi memberi maklumat dan menjawab pertanyaan berkaitan produk dan perkhidmatan kewangan.
Semoga program ini dapat menjadi medium berterusan dalam memperkukuh kecekapan tadbir urus pertubuhan selaras dengan kehendak dan peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966.




















