28 Oktober 2025 (Selasa) – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Perak telah menganjurkan Program #ros_care Seminar Kesedaran Keselamatan Pertubuhan “Pemahaman Anti Money Laundering Act (AMLA) Dalam Tadbir Urus Pertubuhan” dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertempat di Hotel Novotel, Taiping, Perak.
Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman ahli pertubuhan mengenai Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) serta implikasinya terhadap pertubuhan yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, sekaligus menyokong usaha Kerajaan dalam memperkukuh keselamatan komuniti dan membanteras sebarang bentuk aktiviti rasuah serta pengubahan wang haram di negara ini.
Taklimat telah disampaikan oleh Encik Afiz Fazriz bin Azizi, Penganalisis Bank Negara Malaysia, dan SUPT Mohd Ridzuan bin Nor Ihsan, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (Siasatan/Perundangan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, yang berkongsi pandangan serta panduan praktikal berkaitan pelaksanaan langkah-langkah pematuhan AMLA dalam konteks pengurusan pertubuhan.
Program ini telah mendapat sambutan dan interaksi yang amat menggalakkan sepanjang program berlangsung daripada 63 orang peserta yang mewakili 30 pertubuhan daripada pelbagai kategori termasuk sosial, kebajikan, keagamaan dan keselamatan di sekitar daerah Larut, Matang dan Selama serta daerah Kuala Kangsar.












