Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia

ms en

Soalan Lazim

Bagaimanakah caranya untuk membuat permohonan bagi menubuhkan cawangan pertubuhan?

Setiap permohonan untuk menubuhkan cawangan sesuatu pertubuhan hendaklah dibuat oleh pertubuhan induk. Selain itu, setiap permohonan hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut:-

  1. Sesuatu permohonan hendaklah dibuat di dalam borang perundangan, Borang 5 di dalam empat salinan dengan kos RM 1.00 bagi tiap-tiap satu salianan yang perlu disahkan dan ditandatangani oleh 2 pemegang jawatan utama pertubuhan induk.
  2. 2 salinan surat kebenaran untuk menggunakan alamat pemilik premis atau majikan sebagai tempat urusan.
  3. Stem pos bernilai RM 10.00 yang dilekatkan di atas salinan pertama sahaja di borang permohonan (Borang 5)

Tarikh: 11/02/2008

Apa itu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia?

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia adalah salah satu jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri, iaitu badan utama kerajaan yang mengawasi pendaftaran sesebuah pertubuhan. Dengan perkataan lain, pertubuhan adalah juga biasanya disebutkan sebagai Badan-badan Bukan Kerajaan. Bagi maksud itu, undang-undang yang berkuatkuasa adalah Akta Pertubuhan 1966 dan peraturan-peraturan yang dibuat dibawahnya, iaitu Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan. Di bawah Akta, sesuatu pertubuhan adalah ditakrifkan sebagai termasuk mana-mana kelab, syarikat, perkongsian atau persatuan yang mengandungi tujuh atau lebih orang, samada sementara atau kekal, tidak ditubuhkan atau didaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain.Perkataan-perkatan tidak ditubuhkan atau didaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain. Ini adalah penting kerana syarikat-syarikat, kelab-kelab dan perkongsian-perkongsian yang pada asasnya bercorak perniagaan dan mencari keuntungan adalah tidak didaftar dengan Jabatan ini, tetapi adalah di bawah bidangkuasa jabatan-jabatan lain di dalam jentera kerajaan. Pertubuhan-pertubuhan di bawah bidangkuasa Jabatan ini adalah pada asasnya organisasi-organisasi bercorak sukarela dan tolong-menolong sesama sendiri dalam bentuk sosial, politik dan psikologi.
 
Tarikh: 06/02/2008

Apakah fungsi-fungsi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia?

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan adalah pada asasnya berhubungkait dengan hal-hal pendaftaran, pengawalan, penyeliaan dan juga penyelenggaraan rekod-rekod mengenai pertubuhan-pertubuhan berdaftar dan cawangannya di seluruh Malaysia supaya mereka tidak bergiat bertentangan dengan keselamatan, keamanan, ketenteraman awam, ketertiban, kebajikan atau kemoralan di Malaysia.
 
Tarikh: 06/02/2008

Apakah yang menyebabkan pendaftaran sesebuah pertubuhan itu dibatalkan?

Terdapat banyak sebab-sebab mengapa pendaftaran sesebuah pertubuhan itu dibatalkan. Di antara sebab-sebabnya adalah seperti berikut:-

  1. Pertubuhan telah dibubarkan oleh ahli-ahlinya di bawah Seksyen 13(1)(a).
  2. Pertubuhan yang didapati bertentangan dengan keselamatan negara, ketenteraman awam atau akhlak negara dan perintah di buat oleh Menteri mengikut Seksyen 5 seperti yang diperuntukan di bawah Seksyen 13(1)(b).
  3. Pertubuhan yang didaftarkan di atas penipuan atau kesilapan atau salah nyataan di bawah Seksyen 13(1)(c)(i).
  4. Pertubuhan digunakan bagi maksud-maksud yang menyalahi undang-undang atau bagi maksud-maksud yang bertentangan dengan keamanan, kebajikan, ketenteraman atau akhlak di bawah Seksyen 13(1)(c)(ii).
  5. Pertubuhan didapati telah berusaha mencapai tujuan-tujuan lain daripada tujuan-tujuan yang ia didaftarkan di bawah Seksyen 13(1)(c)(iii).
  6. Pertubuhan didapati sengaja melanggar Akta Pertubuhan 1966, Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984 atau undang-undang tubuh atau melanggar Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv).
  7. Pertubuhan yang tidak wujud lagi di bawah Seksyen 13(1)(c)(v).
  8. Pertubuhan yang telah gagal mematuhi perintah meminda undang-undang tubuh pertubuhan seperti yang dikehendaki oleh Pendaftar mengikut Seksyen 13A, seperti disebutkan di bawah Seksyen 13(1)(c)(vi).
  9. Pertubuhan yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 2A seperti disebutkan di bawah Seksyen 13(1)(c)(vii).
  10. Pertubuhan yang melanggar peruntukan mengikut Seksyen 52 seperti disebutkan di bawah Seksyen 13(1)(c)(viii).
  11. Pertubuhan yang menghadapi pertikaian dikalangan ahli-ahli atau pemegang jawatan dan gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 16(1) seperti disebutkan di bawah Seksyen 13(1)(c)(ix).
  12. Pertubuhan yang gagal mengemukakan penyata tahunan seperti disebutkan di bawah Seksyen 13(1)(d).


Tarikh: 11/02/2008

Bagaimanakah caranya untuk menubuhkan sesebuah pertubuhan?

i)  Suatu mesyuarat penubuhan hendaklah diadakan untuk menubuhkan pertubuhan yang dihadiri tidak
    kurang daripada 7 orang dan nama-nama mereka hendaklah dicatitkan di dalam minit mesyuarat.
ii) Mesyuarat penubuhan hendaklah meluluskan resolusi-resolusi seperti berikut:-
-     bersetuju tentang penubuhan pertubuhan
-     meluluskan nama pertubuhan
-     meluluskan tempat urusan (alamat) yang akan didaftarkan
-     melantik Ahli-ahli Jawatankuasa Penaja untuk mengendalikan pendaftaran pertubuhan
-     meluluskan perlembagaan dan aturan-aturan pertubuhan yang didaftarkan
-     mencatatkan perjalanan mesyuarat penubuhan (minit mesyuarat) pertubuhan termasuk resolusi-resolusi yang disebutkan di atas.
 
Tarikh :     11/02/2008
   

Kekerapan Mesyuarat Agung

Mesyuarat agung boleh diadakan pada kekerapan seperti berikut:

  1. Mesyuarat Agung setahun sekali.
  2. Mesyuarat Agung dua tahun sekali.
  3. Mesyuarat Agung tiga tahun sekali.


Tarikh: 06/02/2008